Monday, October 11, 2010

drift info

SAKSIKAN kehebatan aksi sukan drift sepanjang kejohanan Goodyear Formula Drift Malaysia 2009 (GFDM 2009) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Acara anjuran ESPN STAR Sports dan Goodyear di Taman Agro Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor itu merupakan acara drift bertaraf antarabangsa yang dianjurkan buat pertama kali di negara ini.
Keghairahan penonton untuk menyaksikan aksi, deruman enjin dan kepulan asap daripada pusingan tayar jentera pada pertandingan itu dihangatkan dengan kemunculan dua jaguh drift dunia.
Mereka ialah Ryuji Miki yang merupakan bekas juara D1 Japan dan Mad Mike Whiddett, juara Formula Drift Thailand dari New Zealand.
Tidak ketinggalan, penonton juga berpeluang menyaksikan kehebatan jaguh drift tempatan seperti Ariff Johanis (Goodyear), Sean Khoo dan Ee Yoong Cherng.
Kejohanan kali ini disertai oleh 53 pemandu termasuk dari Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura. Daripada jumlah itu, 31 penyertaan adalah daripada pemandu tempatan.
Acara pada hari pertama bermula dengan pusingan kelayakan bagi menentukan 32 pemandu yang akan ke peringkat akhir (beraksi pada hari Ahad). Pertandingan diadili oleh panel hakim dari Formula Drift Amerika Syarikat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia, Nasution Abdul Rahman berkata, Goodyear sebagai penaja utama acara menampilkan empat pemandu pada pertandingan itu.
Mereka ialah Ariff Johaniss, Johan Norman, Michael Gan dan pemandu wanita, Azrina Jane Abdullah.
“Kesemua mereka dipilih berdasarkan rekod dan prestasi pada pusingan ujian yang dilakukan.
“Kesemua mereka akan menggunakan tayar Goodyear Eagle RS Sport sepanjang pertandingan,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai kejohanan itu, penglibatan Goodyear dalam sukan drift adalah sebahagian daripada komitmen jenama tayar itu sejak bertapak di negara pada 1972.
“Kita melihat potensi yang besar di negara ini berdasarkan penganjuran perlumbaan yang rancak.
“GFDM 2009 diharap dapat memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi sukan drif terkemuka di rantau ini,” jelasnya.
Sekiranya mencapai objektif penganjuran, kejohanan kali pertama itu akan dijadikan sebagai acara tahunan di negara ini.
Selain itu, acara juga bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda untuk mendekati dan menceburi sukan tersebut.
“Sukan ini adalah sukan yang selamat jika dilakukan mengikut piawaiannya.
“Malah kita tidak keberatan untuk membantu mereka yang mempunyai bakat besar melalui penajaan Goodyear ke pertandingan di luar negara,” tambah beliau.
GFDM 2009 kali ini dijangka mengumpulkan 8,000 penonton berdasarkan sambutan awal yang diterima penganjur.
Sehingga semalam, semua tiket tempat duduk utama sudah habis dijual manakala tiket-tiket berharga RM50 dan RM18 masih boleh didapati.
Acara dua hari itu turut dimeriahkan dengan aktiviti seperti termasuk pameran kereta-kereta yang ditala khas untuk sukan itu.

No comments:

Post a Comment